Showing posts with label Gharib Khasful Litham. Show all posts
Showing posts with label Gharib Khasful Litham. Show all posts

Monday, November 06, 2017

Tawaf menaiki kerusi roda atau kederaan beroda, sahkah?

Soal: Seseorang tawaf dikaabah menaiki kerusi roda dengan ditolak orang lain atau dirinya sendiri atau dengan kenderaan beroda menggunakan bateri contohnya adakah sah tawaf dirinya?. Jawab: Ada beberapa keadaan yang perlu difahami. 1. Kerusi roda ditolak oleh orang lain, jika yang menolak kerusi roda itu berniat pusingan tawaf itu untuk orang yang ditolaknya, maka tawaf itu sah untuk tawaf orang yang ditolak. Kalau sebaliknya orang yang menolak kerusi roda itu berniat tawaf itu bagi dirinya sendiri walaupun dia sedang menolak kerusi roda , maka tawaf itu menjadi tawaf orang yang menolak kerusi roda itu. Kalau si penolak kerusi roda itu tidak berniat apa2, hanya tolak sahaja bukan sebagai tawaf, maka tidak sah pusingan itu sebagai tawaf. 2. Jika seseorang yang bertawaf dengan kerusi roda dengan sendirinya tanpa di tolak oleh orang lain, maka sah tawaf itu bagi dirinya.difaham dari ini, seseorang yang bertawaf itu harus tawaf dengan menaiki kenderaan walaupun yang terbaik bertawaf dengan berjalan kaki. 3. Jika bertawaf seseorang dengan kenderaan , contohnya dengan perahu bila berlaku banjir di masjid haram, maka setiap penumpang berniat tawaf masing2, maka sah semua tawaf mereka yang diatas perahu itu. Difaham dari ini mereka yang tawaf sendirian dengan kenderaan menggunakan bateri elektrik adalah sah. Nasnya: Kasful Litham an Asilatil anam,,,,bab adab tawaf.

Wednesday, July 31, 2013

Soal  8 :  Mekah sudah menyambut aidil fitri sehari sebelum saya berangkat pulang ke tanahair. Pada hari saya sampai di KLIA dari Mekah, didapati orang Malaysia masih berpuasa lagi, pada baki hari tersebut saya diwajibkan imsak, soalanya adakah perlu saya qodho puasa untuk hari itu?.

Jawab : Ya , wajib diqodhokan. wallahu a'lam.

Nasnya : kasful Litham mukasurat 101 juzuk 1.
Jika musafir seorang kepada tempat yang jauh sekira-kira bersalahan mathla' nya, wajiblah atasnya ia mufakat puasa pada akhirnya dan jika sudah ia hariraya maka didapat merekaitu lagi puasa , wajib imsak pada harinya, MAKA ZAHIRNYA WAJIB QADHO PULA SEHARI , kerana berbuka ia didalam Ramdhan , lagi kerana ia jadi ahli negeri itu , tiada diiktibarkan lagi yang ia musafir daripadanya.


Thursday, June 13, 2013

Bilal/ Tukang Bang membaca sesuatu ayat semasa Khatib naik mimbar khutbah jumaat - tiada asalnya?.

Soal: Baca satu ayat quran atau hadis untuk menaikkan khatib atau imam keatas mimbar khutbah jumaat , sepertimana yang biasa dilakukan orang , apa kaedah agama yang membolehkannya?.

Jawab: Menurut kitab Kasful Litham , perkara tersebut tiada asalnya dari Nabi s.a.w dan Salafus -sholeh , hanya yang diriwayatkan adalah bilal bertindak azan apabila masuk saja waktu juma'at, kemudian azan pula sekali lagi apabila khatib sudah duduk diatas mimbar. itu sahaja yang waridnya, atau yang ada ceritanya dari Nabi dan Salafu- soleh. Itu sahaja maksud yang tercatit didalam Kasful Litham muka surat 53 juzuk pertama.. Iaitu perkara  bilal atau tukang bang  membaca sesuatu ayat atau pegang tongkat sebelum khatib atau imam naik kemimbar , kemudian menyerahkan tongkat atau buku khutbah kepada khatib/imam  - adalah perkara yang tiada ceritanya dari semenjak zaman Nabi s.a.w. Maka  Tuan pengarang Kasful litaham yang sangat alim telah ditanya , adakah asalnya perbuatan itu dari Nabi?. Nabi pernah buat kah begitu, atau para sahabt pernah buatkah begitu?.  Maka dijawab memang tiada ceritanya nabi pernah buat atau sahabat pernah buat. Setakat iatu sahaja  jawapannya.  Bukannya tuan pengarang mengatakan  "TIDAK BOLEH BUAT" atau perkara itu bid'ah dan sebagainya. Oleh yang demikian  perbuatan orang Nusantara yang beramal begitu telah dikomentari juga oleh Tuan Sheikh Daud Al Fathoni dalam kitab beliau Bughyatut Thullab , muka surat 213 juzuk pertama. Perbuatan Bilal atau Muazzin membaca sesuatu ayat atau hadis setelah Khatib atau Imam berada diatas mimbar , selepas azan kedua dilaungkan dan Khatib belum memulakan Khutbahnya, adalah Bid'ah Hasanah- iaitu perbuatan yang tiada contohnya dari Nabi s.a.w atau salafu sholeh tetapi dia nya dianggap baik dan dapat pahala , sebab masih tercakup dibawah kaedah-kaedah syariat agama. Maka , Kasful Litham hanya menyatakan secara umum, Bughyatul Thullah telah mencernakanya sehingga dapat diamalkan oleh umat Islam amalan tersebut. Wallahu a'lam.

Nasnya: Kasful Litham , muka surat 53 juzuk 1.
             Bugyah Thullab muka surat  213 juzuk 1.

Monday, March 11, 2013

kalau imam takbir tak cukup atau boleh kah makmum takbir sedangkan imam tidak takbir? - Sembahyang Hariraya.

soalan: slm. kalau imam takbir tak cukup, contohnya 3 x sja rkat prtma. mkmum cmna ust.

atau boleh ka mkmum tkkbir sdgkn imm x?


al ustaz Jawab:

Soalan 1:  Kalau imam takbir tak cukup, contohnya 3 kali  sahaja pada rakaat pertama makmum.

Jawab:Makmum boleh sempurnakan takbir yang kurang itu dalam rakaat ke 2. Itupun jika imam juga takbir pada rakaat kedua tersebut,   qaul ini  menurut Sheikh Ramli.

Kalau  menurut  Ibn Hajar, makmum hendaklah ikut sahaja imam. Tidak ada tambah takbir lagi pada rakaat kedua . Maknanya pada rakaat ke 2  tidak ada takbir lagi samada imam atau makmum- ini menurut Sheikh Ibnu Hajar.  Qaul ini Shekh Ibnu Hajar  ini  biasa diamalkan dalam masyarakat kita .



Soalan 2: Bolehkah makmum takbir sedangkan imam  tidak takbir pada rakaat  pertama atau kedua?.

Jawab:  Pada rakaat  pertama , Tidak ada lagi takbir makmum, makmum kena ikut saja imam, maksudnya , bila imam langsung tidak takbir pada rakaat pertama , makmum tidak adalah lagi  takbirnya .  Kalau imam tidak takbir juga pada rakaat kedua , makmum juga tiada ada takbirnya.   masalah ini  ini tidak ada  khilaf antara Sheikh Ibn Hajar dan Sheikh  Ramli..  Khilaf berlaku hanya pada rakaat kedua , iaitu: Bila imam takbir pada rakaat kedua menurut qaul Sheikh Ramli yang membolehkan takbir 7 kali atau kurang dari 7 bila tidak dibacakan pada rakaat pertama , hendaklah dibacakan dia pada rakaat kedua, maka makmum bila dengar atau tahu saja imam takbir, maka makmum hendaklah takbir. .

Didalam Ibarat  kitab fikah.,  sunat makmum tidak mengikut  imam yang takbir lebih dari bilangan sepatutnya. Contohnya : Imam takbir lebih dari 8 kali  pada rakaat pertama, maka makmum takbir 7 sahaja.  Sebaliknya kalau imam takbir kurang pula, contohnya : 3 kali sahaja , maka  3 kali jugalah  makmum takbir, walaupun imam itu mazhabnya lain dari mazhab makmum, misalnya kita sebagai makmum bermazhab Shafie, sepatutnya takbir 7 kali dirakaat pertama, sedangkan imam kita mazhab Maliki , takbirnya 3 kali , maka kita hendaklah takbir 3 kali sahaja.  Kalau takbir lebih?.  Makruh.


  (Perhatian) : Kalau imam selepas fatihahnya, teringat  tidak membaca takbir lagi , kemudian  dia bertakbirnya pula. maka sembahyang  imam atau makmum tidak batal.  Istimewa jika ditaklid  Qaul Qodim yang mengharuskan  buat begitu.  Makmum adakah  mengikut imam takbir atau tidak boleh ikut?  Jawab: Kalau makmum ikut, makruh, tidak batal sembahyang. Melainkan jika makmum taklid juga qaul qadim itu, Maka Harus juga..tidak makruh , tidak batal. wallahu a'lam.

(Furu') Masalah: Makmum sembahyang raya berimamkan imam sembahyang subuh?.

Jawab: Maka makmum sunat juga takbir 7 kali rakaat pertamanya, 5 kali rakaat keduanya.

Saturday, March 09, 2013

Tinggal takbir rakaat pertama sembahyang raya boleh takbir dirakaat kedua?- Khilaf Ibnu Hajar dan Ramli



Soalan: Kerapkali terjadi kelupaan para imam sembahyang hariraya samada aidil fitri atau aidil adha, terlupa bertakbir 7 kali dirakaat pertama sebelum membaca bissmillah al fatihah, yang akan menyebabkan tidak boleh takbir lagi sehingga akhir sembahyang. Jemaah , orang ramai akan merungut bila selesai sembahyang.. macam tak raya tahun ni..  apa pandangan ustaz?



Jawab: Tidak ada takbir atau tidak boleh takbir lagi setelah mula membaca basmalah alfatihah, dan para makmum tidak perlu lagi menegur imam yang tak membaca takbir itu dengan subhanallah2... ada lah sebenarnya mengikut fatwa Ibnu Hajar dalam kitab Tuhfah. Dan ini biasanya diamalkan oleh masyarakat kita dan banyak sangat telah tercatit dalam kitab2 jawi/ melayu kita. Jadi ianya merupakan pegangan para ulamak kita dan umum masyarakat. 

Cuma ada satu panduan/ fatwa yang agak selesa untuk beramalnya bagi awam , jika keadaan begitu. Tercatit dalam kitab Kasful Litham muka surat 61 juzuk pertama, fatwa dari Sheikh Ramli, boleh lagi bertakbir pada rakaat kedua, jika tinggal dirakaat pertama, dan di Qadokan dengan baca takbir 7 kali  dahulu, kemudian baru takbir 5 kali pula  untuk rakaat kedua.

Nampaknya catitan Sheikh Ramli agak melegakan.  Boleh diamalkan. Dan para jemaah akan ceria. Sepatutnya tidak merungut lagi. Wallahu a'lam. 


Nasnya: (Masalah) Manakala ketinggalan takbir yang tujuh pada rakat yang pertama kata Sheikh Ibnu Hajar Tiada lagi didatangkan dia pada rakaat yang keduanya. Dan kata Ramli sunat didatangkan dia pada yang keduanya, diqiyaskan orang yang meninggalkan membaca surah al jumaah pada rakaat yang pertama maka didatangkan dia pada rakaat yang kedua serta dengan surah al munafiqin, maka atas kata Ramli ini adakah didatangkan tujuh dahulu daripada lima atau yang lima itu didahulukan dia kerana tempatnya , maka yang aqrabnya didahulukan yang tujuh dahulu

Klik le pulak sini, tengok lagi... intaha kasful litham.




Monday, November 05, 2012

Lupa Takbir rak'at pertama sembahyang aidilfitri/adha, diqodha dirak'at kedua?. -Khilaf Ibnu Hajar dan Ramli.

Gharib Kasful Litham 18

Ketika Sembahyang Aidil Fitri atau Aidil Adha:-


Nas: (Masalah) Maka manakala ketinggalan takbir yang tujuh pada rakaat yang pertama , kata Sheikh Ibn Hajar tiada lagi didatangkan dia pada rak'at yang keduanya dan kata Ramli sunat didatangkan  dia pada yang keduanya  di qiyaskan orang yang meninggalkan membaca surah al Jumah  pada rakaat pertama maka didatangkan dia pada rak'at kedua serta dengan surat al munafiqin , maka atas kata ini adakah didatangkan tujuh dahulu daripada yang lima atau yang lima itu didahulukan dia kerana tempatnya maka yang aqrabnya didahulukan yang tujuh dahulu itu. .. Tamat .



 Ulasan:

Ibn Hajar =  tiada takbir lagi bila terlupa takbir dirakaat pertama.
Sheikh Ramli= takbirkan 7 kali kemudian takbir pula 5 kali dirakaat kedua. 


(Fatwa Sheikh Ramli) Ini Fatwa yang tidak pernah kita dengar dan amalkan dalam masyarakat kita.  
Harus kita beramal dengannya dengan memilih  qaul Sheikh Ramli . 


Thursday, August 30, 2012

Gharib Khasful Litham 17



 Puasa 6 , boleh campur niat Qodha Ramdhan?.

Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Bolehkah Niat qadha Ramdhan disekalikan dengan niat berpuasa 6?. Sahkah puasa qadha tu?. 


Jawab : Boleh dan Sah. 

Nasnya: kitab Kasful Litham juzuk 1, muka surat 107, Bab Puasa Sunat.







(Far'un) Maka jika meqadha oleh seorang itu bulan Ramdhan didalam bulan Syawwal maka sunat ia Qadha puasa Syawwal itu pada bulan Zul Qa'dah . Dan jika diqashadkan pada Niat serta bulan Ramdhan itu sunat Syawwal, masuk ia dengan ITTIFAQ . Dan jika ia Itlaq, demikian jua  masuk sertanya atas yang dimuktamad oleh Sheikh Ramli. 


Huraian dan Ringkasan:

1. Jika seseorang  Qadha untuk puasa Ramdhan selama sebulan  sepanjang bulan Syawwal, maka dia sunat pula mengqadhakan puasa 6 Syawwal itu dibulan Zul Ka'dah , iaitu bulan yang berikutnya selepas Syawwal.

2. Jika sesesorang mencampurkan niat puasa untuk Qadha  puasa Ramdhan dengan Niat puasa 6 , maka harus dan puasanya itu sah menurut pendapat kedua Sheikh iaitu : Sheikh Ibnu Hajar al Haitami dan Sheikh Romli. Maksudnya , puasa tersebut boleh disekalikan dengan 2 niat, tanpa perlu diulang berpuasa  lagi untuk puasa 6.

3. Sebaliknya , jika seseorang itu mengitlaqkan ( iaitu tidak kaitkan ) niat Qadha puasa Ramdhannya dibulan Syawwal dengan disertakan niat puasa 6 semasa berniat puasa, maka khilaf   pendapat  antara Sheikh Ibnu Hajar dan Sheikh Ramli, 

Jika menurut pendapat Sheikh Ramli dalam kitab Nihayah, SAH.  Iaitu sudah termasuk Niat berpuasa 6 itu kedalam Puasa Qadha Ramdhan yang dibuat dalam bulan Syawwal, sekalipun tidak disertakan niat  puasa 6 itu Maka tidak perlu lagi diulangi melakukan puasa 6 pula selepas puasa Qadha Ramdhan tersebut.

Adapun menurut pendapat Sheikh Ibnu Hajar, tidak boleh dianggap memadai puasa 6 tersebut dengan hanya niat berpuasa Qadha jika tidak disertakan niat puasa 6.  Maka  keadaan begitu menurut Ibnu Hajar, puasa 6 perlu di lakukan selepas berpuasa qadha Ramdahan tersebut, kerana ketiadaan niat puasa 6 .


Harus untuk kita memilih salah satu dari kedua pendapat Sheikh ini jika kita hanya berNiat Qadha sahaja. Tetapi nampaknya pendapat Sheikh Ramli adalah lebih memudahkan dan ringan untuk diikuti bagi mereka yang hanya berniat qadha dan terlupa pula berniat puasa 6. Wallahu a'lam.

Thursday, August 16, 2012

Gharib Kasful Litham 16


Zakat Perniagaan, beli kereta niat untuk dijual pun kena zakat?


Soalan: Saya beli kereta sebuah sahaja dengan niat  akan menjualnya jika ada orang beli, adakah kena zakat ?.


Jawab: Wajib dizakatkan bila cukup syarat zakat perniagaan. 


 Nasnya: Khasful Litham juzuk pertama , muka surat 94.

" Maka wajib zakat Tijarah itu Rubu' Usyur harganya. Dan makna Tijarah itu iaitu memilik seseorang dengan berjual beli akan suatu dengan niat buat berniaga .................................................. tetapi jangan niat memutuskan daripada berniaga itu, maka manakala diniatkan ia hendak memutuskan berniaga seperti ia niat hendak menjadi matabenda itu akan perkakas rumah yakni petaruhan  rumah maka putuslah HAULnya  pada benda yang dibeli itu, dan jika hendak berniaga pula  berkendak pula niat yang lain serta Tasarufnya... tammat Khasful Litham.


Nas Kitab Lain :   Sheikh Omar al Khatib dalam buku Panduan Fiqah bab Zakat. muka surat 137 cetakan tahun 2011, menyatakan: 

: Kalau ketika membeli sebuah rumah, seorang itu berniat hendak menjualnya, maka wajib dikeluarkan zakat atas harga rumah itu setahun daripada  tarikh niat itu, sekalipun tidak dapat menjualnya, kecuali dibatalkan niat tadi sebelum cukup setahun.....

Kalau berjaya menjualnya  sebelum setahun, maka tidak kena zakat. Demikian juga hukumnya jika pada awalnya ia niat hendak tinggal (duduk) , kemudian hendak menjualnya , maka dikira haulnya (masa keluarkan zakat ) daripada tarikh niat menjual rumah. Begitu juga hukumnya dengan kereta. 

Untuk mengelakkan berlaku perkara tadi (kena keluarkan zakat sekalipun tak dapat menjual rumah) ,maka buatlah niat seperti berikut :
" Aku niat hendak tinggal dalam rumah ini. Sekiranya ada orang hendak membelinya , maka aku akan menjualnya".
Dengan niat semacam ini  , tidak kena keluarkan zakat sekalipun telah sampai setahun, bila tidak ada pembeli.
Demikian juga , bila dikosongkan rumah itu (yakni tidak tinggal dan tidak disewakan ), tidak kena keluarkan zakat.:... Buku Panduan Ilmu Fiqh- al Allamah Sheikh Omar al-Khatib - Ulamak Singapura.




Saturday, July 28, 2012

Bayar fidyah puasa dinegeri lain adalah harus. Mati sebelum qadho dan fidyah - wajib 2 fidyah, dan waris harus mengqadhokan puasa simati.


Soalan: Saya kematian bapa yang tinggal puasanya 1 hari pada  tahun lepas, dan  dalam ramdhan tahun ini beliau meninggal, abang saya pula  akan tolong ganti puasakan untuk arwah, puasa yang 1 hari itu, macamana  tu ustaz, sahkan puasa ganti  tu , apa yang mesti dibuat lagi?.

Jawab:       Puasa abang anda itu sah. waris wajib bayarkan 1 cupak beras lagi untuk  fidyah . Fidyah boleh dibayar ditempat lain. 

Nasnya: Kasfulitham juzuk 1, mukasurat 106: 

(Masalah) Seorang mentakhirkan qadho Ramdhan dengan tiada uzur , hingga masuk Ramdhan yang lain ,kemudian  mati ia , maka tiada sempat hendak mengqadhokan dia kemudian daripada Ramdhan yang kedua itu , maka wajib atas waris mengeluarkan 2 cupak didalam satu hari satu cupak bagi puasa dan satu cupak kerana takhir, Inilah jika tiada dipuasakan oleh waris itu ganti daripadanya . Adapun jika dipuasa oleh waris ganti daripadanya maka wajib satu cupak kerana takhir, dan tempat tasharruf fidyah itu kepada fakir dan miskin . dan jika diberi beberapa cupak itu bagi seorang fakir atau miskin sekalipun harus lagi memadalah.

(Masalah) Dan Harus dipindahkan beri itu kepada negeri yang lain - Bujairimi.  

-------------

Huraian ringkas yang menarik disini:

1. Seseorang yang meninggal dunia, Jika tinggal puasa sebab uzur dan tiada peluang qadho hingga masuk ke bulan Ramdhan ditahun hadapannya, maka wajib 1 fidyah sahaja. Jika tiada uzur, wajib 2 fidyahnya, fidyahnya dibayar oleh waris.

 2. Tetapi harus waris qadhokan puasanya. Maka yang wajib hanya 1 fidyah sahaja. 

3. Fidyah mesti diberikan kepada fakir atau miskin. 

4. Harus dikumpulkan semua fidyah yang banyak atau sedikit lalu diberikan kepada hanya seorang fakir atau miskin sahaja. Tidak wajib dibahagi-bahagikan fidyah seperti zakat wajib dipecahkan 3 bahagian pula.

5. Pembayaran fidyah tiada perselisihan pendapat harus dipindah-pindahkan ketempat lain, seperti seorang yang tinggal diSeremban , dibayar fidyah puasanya di Kuala Lumpur. Tidak seperti Zakat fitrah ,  telah berselisih pendapat ulamak mengharuskan memindahkan pembayaran zakat fitrah ketempat lain.


Tuesday, July 24, 2012

Boleh sambung WITIR lepas bangun tahajjud?

Soalan: Seseorang sembahyang witir selepas terawikh berjemaah, kemudian selepas bangun tahajjud dia suka untuk menyambung witirnya 8 rakaat lagi supaya cukup 11 rakaat  , tujuannya hendak mengikut bilangan rakaat witir yang disunnahkan Nabi s.a.w dibulan Ramadhan dalam hadis yang Sahih. Adakah boleh   beramal begitu sebab saya dengar ada ustaz yang larang sebab ada hadis sahih yang kata : Tidak ada 2 kali witir dalam satu malam. Macamnatu Ustaz?.


Jawab:  Harus, dengan niat menyempurnakan witir, bukan niat 2 kali witir. 

Ulasannya: Kebanyakan kitab fiqah yang bicara masalah ini samaada kitab arab atau jawi (bahasa melayu) , tidak menjelaskan dengan jelas illah larangan melakukan 2 kali witir dalam satu malam.Hanya dengan dicatit Hadis Sahih atau Hasan :  Tidak ada 2 kali witir dalam satu malam.

Hinggalah setelah kita tela'ah dan teliti kitab Kasful Litham melayu, ada di sebutkan didalam juzuk pertama mukasurat 40. 

Nasnya Pertama: Yang melarang dua kali witir dalam satu malam.
(Masalah) Seseorang sembahyang witir terdahulu daripaa tahajjud maka tiada Harus ia ulangkan dia kemudian daripada tahajjud, lagi tiada jadi jika diulangnya.  Lagi Haram ulang itu.Kerana tiada witir dalam satu malam. - kasfullitham  juzuk pertama mukasurat 40. 

(Masalah) Seseorang sembahyang witir serakaat atau tiga rakaat pada awal dan kemudian daripada akhir malam , DITAMAMkan witirnya sebelas rakaat . Maka TIADA DINAMAKAN SEMBAHYANG YANG KEDUA ITU WITIR SEKALI_KALI, 
Maka jika IA NIATKAN WITIR PADA SEMBAHYANG YANG KEDUA dengan sengaja, lagi diketahuinya , tiada sah . Jika TIADA, jadi sunat mutlak pada malam. -  kasfullitham  juzuk pertama mukasurat 40. 


Huraian dan Kesimpulannya:  

 Witir 2 kali satu malam yang dilarang adalah jika semata-mata niat 2 kali sembahyang witir, contohnya : Seseorang sudah sembahyang witir 3 rakaat sebelum tidurya, kemudian dia ulang semula witirnya 3 rakaat pula setelah bangun tahajjudnya. Maka inilah yang dimaksudkan larangan didalam hadis yang sahih tersebut dan maksud ibarat dalam kasful litham .

Dalam ibarat kasfullitham juga memaksudkan jika penambahan rakaat witir dibuat semasa tahajjud adalah juga dilarang. Jika dibuat dengan sengaja, maka batal. Jika tidak sengaja atau tidak tahu larangannya , jadilah witir itu sembahyang sunat mutlak sahaja.  Begitulah yang dapat difahami dari kasfullitham, bugyatuthullab,  Matan Minhaj, al Mahalli , Tuhfah dan Nihayah. Cuma dalam Sabilul Muhtadin mencatit "Sunat tidak diulangi witir"- ini menarik juga untuk diperhatikan. Kenapa hanya sunat tidak ulang?.   

Walaubagaimanapun , dapat difahami dari fatwa-fatwa kitab yang lain ,  jika seseorang itu sudah sembahyang 3 rakaat sebelum tidur, seperti dalam soalan, kemudian waktu tahajjudnya ditambah dan disempurnakan rakaat witirnya lagi, mungkin sehingga  8 rakaat lagi dengan niat mencukupkan 11 rakaat witir sebagaimana amalan Nabi s.a.w dibulan Ramadhan, Nabi s.a.w sembahyang witir dibulan Ramdhan tidak kurang dan tidak melebihi 11 rakaat,   maka harus, boleh dibuat begitu, dan ianya tidak boleh dianggap mengulang  witir 2 kali. Yang terlarang Ulang witir 2 kali dalam satu malam, bukan Tambah/Sempurnakan/cukupkan rakaat witir.  Pendapat ini juga telah dijelaskan oleh Sheikh Ibnu Hajar al Haitami didalam kitab Fatwa al Kubro beliau , juzuk 1, mukasurat 265, cetakan daarkutob al ilmiyah, tahun 1997. 

Nasnya Kedua: Yang mengharuskannya jika niat menyempurnakan rakaat witir. 

1. Nas kitab  Fatawa a Kubro: 



 Ditanyakan r.a: berkenaan seseorang yang sembahyang witir  3 rakaat , maka adakah boleh beliau sembahyangkan yang bakinya lagi, selepas itu dengan niat witir? Jawab: Ya , Harus ia buat begitu menurut yang zahir, kerana makna keadaannya  witir adalah seperti itulah caranya, samaada dipertengahan  witir, atau di permulaan atau di kemudiannya.


2. Nas Kitab Panduan Ilmu Fiqah- karangan Syeikh Omar Al Khatib  (Ulamak Singapura) -susunan Ustaz M. Salleh bin A.Hamid.  Bab Solat 2,  jilid  2, muka surat 14.


"Rakaat yang Ganjil (witir) hanya boleh dikerjakan sekali sahaja , Haram melakukan 2 kali dalam satu malam. 
Hadis : Tidak ada 2 witir dalam satu malam"
            Ini bermakna kalau sudah mengerjakan rakaat ganjil sebelum masuk tidur , misalnya 3 rakaat , maka tidak boleh dikerjakan rakaat ganjil lagi setelah bangun dari tidur ditengah malam. Misalnya 5 rakaat , kerana jumlahnya  akan menjadi genap ( 3 + 5 = 8) , bukan ganjil. Jika ini berlaku maka yang sah sebagai witir ada 7 rakaat sahaja (iaitu 3 rakaat sebelum tidur + 4 rakaat setelah bangun tidur ). Begitu juga jika dikerjakan 5 rakaat setelah bangun dari tidur  dengan cara (Fashl) 2 salam , seperti 3 rakaat , kemudian 2 rakaat , maka 4 rakaat dari 5 itu sahaja , sah,  kerana bila dicampurkan dengan 3 rakaat sebelum tidur , jumlahnya 7 rakaat". 
         Mengikut Ibnu Hajar , tidak semestinya solat witir yang akhir itu mempunyai rakaat yang ganjil . Justeru itu boleh menunaikan tiga rakaat sebelum tidur misalnya, dan dua rakaat setelah bangun dari tidur . ---Kitab Panduan Ilmu Fiqah.



 Cara kedua yang dibolehkan .

 Ada satu lagi cara yang boleh dibuat , iaitu dengan digenapkan witir yang sebelum tidur . Caranya ,  contohnya: Seorang sembahyang 3 rakaat witir sebelum tidur, kemudian apabila bangun tahajjud  disembahyangkan witir 1 rakaat sahaja dulu dengan maksud mengenapkan witir (ganjil ) 3 rakaat + 1 rakaat jadi 4 rakaat.  Dengan 4 rakaat itu sudah jadi genap bilangan rakaat sembahyang witirnya. Kemudian , bolehlah dia menambah sebanyak mana rakaat yang diingininya sampai 11 rakaat jumlah paling banyak witir.

Cara ini telah diNaskan oleh matan Minhaj at Tholibin dan disyarahkan dalam kitab fikah yang besar seperti al Mahalli, Tuhfah , Mughni dan Nihayah.  Dikatakan cara ini telah diamalkan oleh setengah Para Sahabat Nabi antaranya Saidina Ibnu Umar r.anhu dan selain beliau. Cara ini dinamakan  ( Naqd witr) batalkan witir.  Cuma cara ini adalah fatwa yang dhoif (lemah) , sebab didalam Ihya , Imam Ghazali menyatakan telah Sabit Hadis yang sahih melarang membatalkan witir.  
Kalau sekadar mahu beramal dengan fatwa tersebut, maka diharuskan. Boleh beramal. Wallahu a'lam.

Berkenaan cara kedua ini boleh dirujuk kitab al Mahalli juzuk pertama , muka surat 213.



Fatwa dan nukilan-nukilan  ini nampaknya dapat memudahkan mereka yang haluba beramal dibulan ramdhan, tetapi nampak sedikit canggung apabila selelesai sahaja sembahyang Terawikh berjemaah 20 rakaat, langsung pulang kerumah, tidak berjemaah witir dengan bersama imam dan jemaah atau terus keluar saf duduk diluar masjid/surau menanti jemaah selesai witir 3 rakaat , kemudian masuk semula join berwirid dan doa berjemaah. Nampaknya lah kurang manisnya. Walaupun tujuannya baik, sebab nanti dirumah atau waktu bangun tahajjud boleh berwitir dengan lamanya dan banyak rakaatnya mungkin ditambah sehingga  8 rakaat lagi untuk mencukupkan  11 rakaat witir. Sebab rakaat  witir paling banyak adalah 11 rakaat. Maknanya 3 rakaat ditambah 8, jadi jumlanya 11 rakaat. 

Kalau menurut nukilan fatwa ini, tidak menjadi masalah bagi sesiapa yang mahu menambah bilangan rakaat witirnya nanti  dikemudiannya  . Berwitirlah  sahaja bersama jemaah, nanti kemudiannya dirumah dimasa tahajjud ditambah lagi . Wallahu a'lam.


Diharapkan penjelasan ini dapat melapangkan dada mereka yang  cukup gembira memenuhkan ruangan waktu dibulan mulia ini. Doakan saya semasa tahajjud... semuga dilapangkan masa, dada, fikiran perasaan,rezeki, kesihatan,panjang umur dalam taat, ibadat, munajat, muraqabah, musyahadah dan  ma'rifah kepada DIA Yang Maha Pencipta. Amin. Allahu musta'an


Wednesday, March 28, 2012

Gharib Khasful Litham 13

Soal: Seseorang musafir, ada 2 jalan untuk pulang kerumahnya . Pertama, ikut jalan dekat yang tidak sampai had 90 km atau ikut jalan jauh yang lebih 100 km. Adakah boleh dia mengikut jalan jauh untuk mendapatkan sembahyang jamak/qasar semata-mata tanpa ada tujuan lain?.


Jawab: Tidak boleh dia sembahyang jamak/qasar . Dia mesti sembahyang tamam. Wallahu A'lam.

Soal: Kalau dia memilih jalan jauh , selain bertujuan untuk membolehkan sembahyang jamak/qashar, dia juga akan singgah menziarahi saudaranya yang sakit, membeli-belah barangan keperluan harian dan melihat panorama keindahan alam dikawasan pergunungan sambil berhenti ditepi pantai berkelah, adakah boleh beliau jamak/qasar sembahyang?.

Jawab: Boleh, harus beliau jamak/qashar.

Nasnya: Kitab kasful Litham , mukasurat 47, juzuk 1.




( Masalah) Seorang musafir, ada baginya 2 jalan . Satu padanya singkat lagi mudah dan satu daripadanya jauh . Maka ia berjalan dengan jalan yang jauh , tiada suatu gharadh (tujuan), nescaya haram atasnya kerana mempenatkan dirinya dan binatangnya dan tiada dimudahkan qashar dan lain atasnya.


Soal: Selain nas Kasful Litham ini, adakah nas-nas kitab lain yang lebih jelas membolehkan jamak/qasar jika memilih jalan jauh dengan sebab ada tujuan-tujuan lain seperti dalam soalan?.

Jawab : Ada. Kitab al Mahalli , Komentar Matan al Minhaj Imam Nawawi r.anhu. Mukasurat 260 juzuk 1.






Thursday, February 23, 2012

Gharib Khasful Litham 12

Soal:Seorang makmum yang muwafiq, mula masuk takbir ketika imam mula bangun ke rakaat ketiga imam sembahyang zohor. Apabila imam duduk tahiyyat akhirnya ,setelah selesai bacaannya lalu memberi salam, bolehkah lagi makmum tersebut menghabiskan bacaan doa makmum dengan panjang lebar kemudian baru lah bangun untuk meyempurnakan 2 rakaat lagi sembahyangnya itu?.


Jawab:Boleh , samada ia muwafiq atau masbuq yang selaras tempat tahiyyatnya dengan tempat tahiyyat imam, iaitu harus serta makruh buat begitu tetapi makmum itu tidak akan mendapat pahala berjemaah.

Sebaiknya (sunat) apabila selesai sahaja imam memberi salam kedua, makmun tersebut hendaklah bangun terus selesaikan rakaatnya. Jangan lagi ia habiskan bacaan-bacaannya.


Soal: Bagaimana pula kalau makmum samaada muwafiq atau masbuq tidak selaras tempat duduk tahiyyatnya dengan tempat tahiyyat imam, adakah boleh mereka meneruskan bacaan doa mereka dengan khusyuknya , sedangkan imam telah lama memberi salam ?.


Jawab: Tidak boleh lagi mereka (makmum tersebut) memanjangkan doa-doa dan bacaan mereka. Wajib mereka cepat bangun dan meneruskan sembahyang mereka. Jika mereka teruskan juga berdoa dan meneruskan bacaan mereka tanpa niat mufarakah maka batal sembahyang mereka (makmum tersebut).


Soal : Apa maksud tidak selaras tempat duduk tahiyyatnya dengan tempat tahiyyat imam?.

Jawab:
Contohnya: Makmum mula takbir, imam sudah dirakaat keempat pada sembahyang zohor . Apabila imam duduk tahiyyat akhirnya kemudian imam memberi salamnya, makmum wajib bangun meneruskan rakaatnya, tidak boleh lagi duduk , sebab tidak selaras kedudukan duduk imam dengan makmum. Sebab imam duduk untuk tahiyyat akhirnya, sedangkan makmum duduk pada rakaat pertamanya. Duduk tahiyyat tidak ada pada rakaat pertama. Duduk tahiyyat hanya untuk rakaat kedua dan diakhir sembahyang. Dalam contoh ini , makmum hanya duduk , disebabkan wajib mengikut perbuatan imam saja. Bukan duduk disebabkan tempat tahiyyat makmum. Oleh yang demikian , dikatakan "tidak selaras tempat duduk imam dan makmum". Itulah contohnya. Sila fahamkan sebaik mungkin. Wallahu a'lam.

Nasnya: Kitab Kasful Litham juzuk 1 mukasurat 31.



Ertinya: (masalah) Orang yang muwafiq harus ia masyghulkan membaca doa dan umpamanya kemudian daripada salam imamnya. Dan adapun jika ada makmum itu masbuq maka jika tempat tasyahhud awalnya seperti dapat dua rakaat serta imamnya maka demikian jua, serta makruh memanjangkandia. Dan jika bukan tempat tasyahhud maka wajib berdiri dengan bersegra kemudian daripada salam imamnya akan sebagai salam yang keduanya. Maka jika duduk dengan seghajanya lagi ia ketahui akan haramnya , batal sembahyangnya.- intaha Fathhul wahhab.




Monday, February 20, 2012

Gharib Khasful Litham 11


Soal: Apa yang mesti dibuat oleh makmum yang sembahyang qodho maghrib berimamkan imam yang sembahyang isya empat rakaat, bila rakaat makmum sudah sempurna 3 rakaat, sedangkan imam meneruskan rakaatnya yang keempat?.

Jawab: Makmum yang sembahyang qodho tersebut wajib berniat mufarakah ( berpisah dari berjemaah dengan imam) dan dia teruskan duduk untuk membaca tahiyyat akhirnya dan salam.


Nasnya:


(Masalah) seorang Qodho maghrib dibelakang imam sembahyang empat rakaat maka manakala tamam rakaat maka wajib ia niat mufaraqah dan tiada harus ia nanti akan imam didalam tahiyyat itu dan jika imam itu duduk istirahat pada rakaat yang ketiga itu sekalipun kerana duduk istirahat bukan seumpama duduk tahiyyah awal.

Tuesday, February 14, 2012

Gharib Khasful Litham 10

Soal: Bolehkan diamalkan sembahyang hajat atau sembahyang Tasbih secara berjemaah seperti yang kebiasaannya diamalkan disurau dan masjid-masjid?.

Jawab: Harus diamalkan secara berjemaah dan dapat pahala sembahyang tersebut. Walaupun pada asasnya sembahyang hajat dan sembahyang Tasbih tidak termasuk kategori sembahyang yang disunatkan berjemaah.


Nasnya: Kasful Litham , mukasurat 40 juzuk pertama:


(Masalah) Tiap-tiap sembahyang sunat yang tiada dituntut berjemaah itu, manakala dikerjakan dia berjemaah , tiada makruh dan tiada khilaful awla , seperti muqtadho kalam Tuhfah Ibnu Hajar.

Saturday, February 11, 2012

Gharib Khasful Litham 9

Soal:Seseorang yang hendak memulakan safar, sedangkan waktu sembahyang telah masuk adakah boleh beliau menjamak dan qasarkan sembahyang dipertengahan perjalannya?.

Jawab: Tidak terdapat nukilan dalam kitab Kasful Litaham mengatakan samaada Boleh atau Tidak. Begitu juga dalam kebanyakan kitab-kitab fikah melayu , tidak terang berkenaan soalan ini.


Hanya dijumpai dalam Nas kitab al Majmuk bagi imam Nawawi yang telah dengan begitu jelas sekali menaskan jawapan masalah ini. Ada dua qaul Dalam majmuk juzuk 4 muka surat 368-369 .

Nasnya:

Ertinya: Apabila musafir seseorang pada pertengahan waktu, walhal waktu telah masuk dan membolehkan dikerjakan sembahyang didalam waktunya, telah menashkan oleh Imam Shafie : Bahwa harus baginya mengasarkan sembahyang. ...



Wednesday, February 08, 2012

Gharib Khasful Litham 8

Soal: Makmum Sunat sujud sajdah pada rak'at kedua subuh jumaat, bila menyelesaikan rakaatnya?.


Jawab: Seseorang makmum , masuk berjemaah pada rakaat kedua imam , diharuskan membaca ayat sejadah pada rakaat kedua makmum tersebut, selepas salam imam, dan disunatkan pula sujud sajdah .


Nasnya: (Masalah) Jika seorang mengikut imam pada rakaat yang kedua pada sembahyang subuh , maka kemudian daripada salam imam, ia bangkit hendak metamamkan serakaat lagi maka HARUS ia baca الم تنزيل dan jika ia qasad hendak sujud sekalipun dan harus ia sujud.
- Kasful Litham muka surat 44 juzuk 1.

Soalan penjelasan : Bagaimana pula jika seseorang makmum yang telah sujud sejadah pada rakaat pertamanya kerana telah berjemaah dengan imam yang membaca ayat sejadah pada rakaat kedua imam, kemudian makmum sujud mengikut imam, adakah boleh makmum tersebut ketika bangun untuk selesaikan rakaat keduanya membaca ayat sejadah kemudian sujud pula ?.

Jawab: Harus buat begitu.


Nasnya:

و لو كرر آية فى الصلاة فان كان فى ركعة فكالمجلس الواحد وان كان فى ركعتين سجد للثانية ايضا كالمجلسين
- اامجموع ص 71 ج الرابع


Jika mengulang-ulang didalam sembahyang , maka jika dalam satu rakaat maka seperti majlis yang satu, dan jika dua rakaat ,sujud pula kali kedua untuk bacaan yang kedua, ia seperti dua majlis yang berlainan. - al majmuk mukasurat 71 juzuk 4.

Monday, November 21, 2011

Gharib Khasful Litham 7

untuk sujud sahwi, baca mesti niat rukun?.


1. Soalan pertama:
Kalau terbaca atau sengaja membaca al Fatihah didalam ruku', adakah disunatkan sujud sahwi?.


Jawab: Ya disunatkan sujud sahwi. Sengaja memindahkan rukun qauli ketempat lain akan menyebabkan orang yang melakukannya disunatkan sujud sahwi. Cuma disisi pendapat yang muktamad yang dinukilkan dari az Ziyadi, untuk disunatkan sujud sahwi , mestilah diniatkan bacaan al fatihah sebagai bacaan rukun. Sebaliknya jika dibacakan didalam ruku' contohnya, tanpa niat sebagai rukun , misalnya sebagai zikir sahaja, maka tidaklah disunatkan sujud sahwi. Nasnya adalah seperti berikut: didalam kitab kasful Litham juzuk 1 mukasurat 35.




Ertinya: (masalah) Sunat sujud sahwi pada memindahkan Fatihah dan Tasyahud pada yang bukan tempatnya dengan syarat bahawa ada ia dengan niat akan rukunnya.

----------------------------

2. Soalan kedua: Apakan maksud memindahkan fatihah ke dalam sujud sehingga menyebabkan disunatkan sujud sahwi pula?. Bukankah fatihah adalah rukun yang tidak boleh dipindah kan ketempat lain?.

Jawab: Maksud memindahkan fatihah kedalam sujud atau ruku' dan disunatkan sujud sahwi , ialah dengan maksud, bacaan al fatihah telah dibacakan pada ketika berdiri (qiyam). Kemudian ketika ruku' atau sujud, diulang semula bacaan alfatihah itu. Keadaan begini tidak membatalkan sembahyang dan disunatkan sujud sahwi sebelum salam. Walaupun tidak diperintahkan mengulang bacaan fatihah didalam ruku' atau sujud , dan buat begitu makruh, mengurangkan pahala sembahyang, maka untuk menampung atau menutup kekurangan tersebut , kena sujud sahwi. Sujud sahwi hukumnya sunat sahaja.

Jangan pula ada sesiapa yang memahamkan diharuskan tidak membaca al fatihah semasa
berdiri sebelum ruku', kemudian terus ruku' , dibaca fatihah didalam ruku' , kemudian sebelum salam , sunat sujud sahwi.... fahaman ini adalah salah.

Sebab , jika seseorang itu sengaja tidak membaca fatihah ketika berdiri , sembahyangnya akan batal semasa beliau mula turun ruku'. Sebab telah sengaja meninggalkan rukun iaitu alfatihah. dalam masalah ini tidak timbul lagi apa yang dikatakan 'sunat sujud sahwi' sebab sembahyang sudah batal.

Sebaliknya , jika terlupa membaca al fatihah, kemudian terus ruku' dan teringat dalam ruku fatihah belum dibaca, beliau wajib bangun tegak (qiyam) semula untuk mula membaca alfatihah dan melakukan rukun sembahyang yang seterusnya. sebelum salam , disunatkan sujud sahwi . Cuma sunat sujud sahwi sebab terlupa ini masuk dibawah kategori sebab mengerjakan perkara yang membatalkan sembahyang dengan sengaja , tidak batal sebab terlupa. Bukan sebab memindahkan al fatihah ketempat lain.


Nas lain yang menyokong dan jadi sandaran kasful litham.



Kitab Hasyiah Jamal a'la Fathul Wahhab. juzuk 1 , muka surat 452.

Ertinya: Pendapat yang muktamad, bahawa apabila memindahkan bacaan tasyahhud awal atau qunut atau bacaan surah ( hendaklah) ia sujud , syaratnya jika ia berniat sedemikian (sebagai bacaanNya, iaitu kalau qunut sebagi bacaan qunut, kalau tasyahhud maka sebagai bacaan tasyahhud dsb ) , sebaliknya jika tidak berniat sedemikian maka tiada sujud sahwi. - Qalyubi.


Dimuka surat yang sama;



Ertinya : Tetapi dalam Hasyiah Guru kami Az Ziyadi, Khilaf bagi Fathul Wahhab , sekikira-kira beliau berkata : Dan Qunut, dengan berniat akanNya. Seperti demikianitulah, bacaan Tasyahhud dan Bacaan (al Fatihah dan Surah) takdapat tidak dari berniatkan keduanya kerana QIYAS atas bacaan Qunut.





Tetapi pada pendapat saya hamba yang faqir ini, masalah mesti niat atau tidak mesti pada al Fatihah dan Tasyahhud, telah berlaku khilaf.

1) Kalau menurut Sheikhul Islam Zakaria al Anshori dalam Fathul Wahhab beliau:
Dalam masalah pindah alfatihah dan Tasyahhud , adalah memada sunat sujud sahwi sekalipun tidak berniat bacaan tersebut sebagai rukun. Melainkan Bacaan memindahkan Qunut, Maka untuk sunat sujud sahwi, mesti berniat sebagai bacaan qunut.2) Taqrir dari Sheikh al Hafani pula;
1. Rukun Qauli jika dipindahkan berniat atau tidak - sujud sahwi,

2. Sunat ab'adh - jika dipindahkan, tiada sujud melainkan qunut, itupun syaratnya pindah dengan berniatkan sebagai qunut. jika tiada niat, tiada sujud sahwi.
3. Sunat Haiah- tiada sujud, samada pindah dengan niat atau tiada.

3) Qalyubi pula memantapkan seperti nukilan diatas tadi.

4) Az Ziyadi juga seperti nukilan diatas.


Kesimpulannya : Terdapat 4 pandangan . sementara Kitab Kasfullitham yang memfatwakan pindah Tasyahhud dan al Fatihah mesti berniat adalah sesuai dengan nukilan dari al Ziyadi dan al Qalyubi. Walaupun didalam kebanyakan kitab-kitab jawi (kitab-kitab turas bahasa melayu) yang lain tidak ada catitan disyaratkan berniat.

Cuba perhatikan Hasyiah Jamal dimuka surat yang sama. insyallah akan dipublishkn mukasuratnya nanti. wallahu a'lam.


-----------------------------------

3. Soalan ketiga: Mana nas ulamak , mesti baca fatihah ketika berdiri (qiyam) dahulu kemudian baca pula dalam ruku' misalnya , bagi tuntutan sunat sujud sahwi?.


Jawab: Masalah ini ada tersebut dalam kitab Nihayatuzzaien mukasurat 84:




Ertinya: Sebab yang ketiga (disunatkan sujud sahwi) kerana memindahkan qauli yang tidak membatalkan. Samada (qauli) itu rukun seperti fatihah, atau bukan rukun seperti bacaan surah. Samada memindahkannya secara sengaja atau terlupa. Tetapi tidakdapat tidak pada memindahkan rukun bahawa dibacakan dulu ditempatnya kemudian mengulangi bacaannya kali kedua pada bukan tempatnya . Contohnya seperti al fatihah apabila dibacakan ditempatnya (semasa berdiri) kemudian mengulangkan nya didalam ruku' . Seperti yang difahami dari ibarat perkataan pengarang " Yang tidak membatalkan". Adapun jika tidak membaca rukun (alfatihah) ditempatnya iaitu ketika berdiri contohnya : ruku' sebelum fatihah dibacakan , dengan sengaja, lagi tahu pula haramnya buat begitu, maka sesungguhnya batal sembahyangnya.

Tuan Husien Kedah juga telah mencatitkan seperti demikian dalam sebuah kitab beliau , Majmu' laaali - juzuk ke 4:



Ertinya: (Soal) Macamana rupa dipindah akan fatihah daripada tempatnya , iaitu berdiri atau gantinya kepada tempat lain . (Jawab) . Iaitu dibacakan dia didalam ruku' dengan niat mengulang akan fatihah yang sudah dibaca didalam berdiri dahulu daripadanya dengan syarat ia baca didalam berdiri dahulu daripada ruku' itu. Kerana jikalau ia tiada baca didalam berdiri dahulu daripada ruku' itu nescaya batal sembahyangnya dengan turunnya kepada ruku' nya dengan senghaja lagi diketahui akan haramnya
...................................................................


4. Soalan Keempat: Semasa sembahyang berjemaah, timbul rasa was-was rakaat tak cukup sebelum salam , sedangkan semua jemaah sudah memberi salam termasuk imam juga telah memberi salam, apa yang mesti saya buat?.


Jawab: Anda sebenarnya termasuk dibawah kaedah orang was-was. Anda mesti memerhatikan hati anda, tinggalkan bilangan rakaat yang was-was itu dan berpeganglah pada bilangan yang yakin. maksudnya anda mesti anggap rakaat masih belum cukup. Sebab tak cukup rakaat itu ialah keadaan yang yakin, sedangkan cukup rakaat itu dikatakan was-was. tinggalkan was-was dan berpeganglah kepada yang meyakinkan. Anda kena buat lagi satu rakaat. Sebelum salam anda disunatkan sujud sahwi.

Perlu diingat, keadaan yang anda lalui itu, tidak membolehkan anda berpegang dengan perbuatan orang ramai yang sudah memberi salam. Anda tidak boleh ikut mereka. Melainkan , jika mereka memberitahu anda dengan berkata bahwa sembahyang sudah cukup rakaatnya. Itupun dengan syarat, bilangan mereka yang memberitau anda sekurang-kurangnya 5 orang. Cntohnya: mereka bersuara tinggi seramai 5 orang atau lebih , mengatakan sembahyang sudah sempurna rakaatnya. Anda masih dalam sembahyang dan anda mendengarnya. Maka anda wajib ketika itu patuh pada maklumat yang mereka hebahkan. Anda tidak boleh menambah rakaat lagi. Wallahu a'lam.

Nasnya didalam Kasful litham jizik 1 muka surat 37




Ertinya: Jika seorang sembahyang bersama-sama dengan orang orang banyak jamaahnya , kemudian syak ia pada akhir sembahyangnya, pada bilangan rakaat, lazim ia binakan atas YAKIN iaitu kurang. Dan sempurnakan bilangannya dan tiada boleh ia kembali mengikut kaum pada perbuatan. Bersalahan pada khabaran merekaitu dengan perkataan , maka kita kembali mengikut kata merekaitu sekira-kira adalah merekaitu perhimpunan yang yang diamankan atas mufakat atas dusta.

Saturday, June 25, 2011

Gharib Khasful Litham 6

Soalan: Satu soalan yang timbul, bila dikatakan tidak sah sujud pada sisi Sheikh Ramli, kalau kita (ikut) Sheikh Ramli, macamna nak kita buat, adakah kita kena sujud semula atau mcna.. ada nasnya tak dlm kitab ya ustaz?. syukran.

Jawab: Mesti sujud semula, sembahyangnya tidak batal. wallahua'lam.


Nasnya: Kasful Litham muka surat 34 juzuk 1:

Jikalau sujud seorang diatas suatu yang bergerak dengan bergeraknya pada hal suatu yang bergerak itu yang ia tanggung maka tiada memada ia . maka sujud pula kemudian daripada diangkat kepalanya , tiada batal sembahyangnya kerana sujud yang pertama itu tiada jadi bersalahan jika sujud ia atas suatu yang tajam serta tekan akan dia seberat kepala dan diangkatkan kepalanya daripadanya kemudian dikembali sujud tempat lain pula , maka zahir katanya batal jika sudah thuma'ninah pada sujud yang pertama itu batal dengan sujud yang kedua kali itu dan jika belum lagi thuma'ninah zahirnya tiada batal - Mulakhash daripada Bujairimi.


Monday, June 13, 2011

Gharib Khasful Litham 5

Soalan:Jelaskan perbezaan gerakan dengan fi'il dan gerakan dengan taqdir yang boleh menyebabkan batal sujud atau tidak batal sujud disisi Sheikh Ibn Hajar dan Sheikh Ramli?.

Jawab:

Gerakan dengan Fi'il:

Seseorang yang sujud , tidak boleh sujud diatas sesuatu perkara atau benda yang berhubung dengan tubuhnya jika benda itu bergerak mengikut bila tubuh bergerak. Contohnya: Sujud diatas lengan baju yang biasa dipakai orang yang sesuai dgn saiz kebiasaan. Biasanya lengan itu akan mengikut terangkat bila diangkat tangan. Iaitu bergerak mengikut gerak tubuh. Dalam masalah begini, batal sujud diatas lengan baju yag begitu, dan sependapat Sheikh Ibnu Hajar dan Sheikh Ramli mengatakan batal sujud tersebut. Ini adalah contoh apa yang dikatakan sebagai Gerakan dengan Fi'il.


Gerakan dengan takdir:

Seseorang yang sembahyang cara duduk, ia sujud atas sesuatu yang berhubung dengan tubuhnya , benda itu contohnya, lengan bajunya yang terlalu panjang atau ekor serbannya yang terlalu panjang, kalau ditakdirkan jika dia sembahyang berdiri maka lengan baju yang panjang itu atau ekor serban yang panjang itu akan turut bergerak juga mengikut gerakan tubuhnya. Tetapi sekarang ia sembahyang duduk, lengan baju itu atau serban yang panjang itu tidaklah pula bergerak bila dia mengerakkan tubuhnya. Maka dalam maslah ini, khilaf pendapat antara Sheikh ibnu Hajar dengan Sheikh Ramli. Disisi Ibnu Hajar memada sembahyangnya, iaitu sah sujud tersebut . Adapun disisi Sheikh Ramli tidak sah sujud itu jika sengaja melakukannya. Gerakan yang yang dikatakan (kalau ditakdirkan jika dia sembahyang berdiri akan turut bergerak) adalah dinamakan Gerakan dengan takdir.


Nasnya: Dalam Kasful Litham juzuk 1. mukasurat 29:


(Far'un) disyaratkan sah sujud itu adalah ia sujud atas suatu yang tiada gerak dengan geraknya, maka jika sujud ia atas suatu yang ia tanggung yang bergerak dengan geraknya , tiada sah sembahyangnya . Maka Murad dengan gerak itu dengan fi'il tiada mengapa bergerak dengan takdir seperti muqtadho kalam Sheikh Ibnu Hajar . Atau bergerak dengan taqdiri atas barang yang dirojihkan dia oleh Sheikh Romli -intaha Halabi. Maka atas kalam Sheikh Romli Jikalau ada ia sembahyang duduk ia sujud diatasnya suatu yang ditanggung nya tiada bergerak dengan geraknya tetapi jika ia berdiri nescaya bergerak , tiada sah , jika ia sujud atasnya dengan sengaja lagi diketahuinya . Dan pada Sheikh Ibnu Hajar dan Sheikh al Islam Memadai sembahyangnya.


Monday, June 06, 2011

Gharib Khasful Litham 4


Soalan 1 : salam...ust saya ade kemusykilan pd maslah talaq rujuk ni,saya bercerai,kemudian masa dlm eddah isteri,saya bersetubuh dgn dia,tp saya xde niat nak rujuk pn,adakah itu zina?eddah nya bagaimana pula saya dah blurr...takde ilmu sy ade terbaca,ikut mazhab hanafie,setubuh tu dah dikira rujuk,walaupun tiada lafaz rujuk,imam syafie kena berlafaz..ok..saya cuma nak tahu. pasal edah dia tu,adekah kena kira balik 3 kali suci tu..atau ikut edah yg asal...
Jawaban : Tidak boleh dikatakan zina. Namanya hanya Wathi/jimak haram. Sila rujuk kitab al Asybah wan Nazhoir - karangan Imam Sayuthi.
Jika hamil- sabit pusaka. Oleh sebab kita disini (Malaysia) beramal dengan fatwa-fatwa Mazhab Shafie r.a. Untuk memudahkan perlaksanaan urusan-urusan masyarakat , lazimlah diikut mazhab Negara. Tetapi jika anda secara peribadi mengikut fatwa Mazhab Hanafi juga, dengan tanpa menghebahkan kepada orangramai (iaitu tidak menghebahkannya itu dengan tujuan supaya tidak terfitnah) , silakan .



Soalan 2 : pasal edah dia tu, adekah kena kira balik 3 kali suci tu..atau ikut edah yg asal...

Jawaban: Menurut Sheikh Ramli r.a , memulakan semula edah secara quru , bermula dari mula tarikh jimak dan campurkan dengan baki tempoh edah talak yang telah bermula sebelum jimak lagi.

Contohnya : Jimak telah berlaku pada hari akhir 1 quru edah selepas talak.
Edahnya hendaklah diperhatikan semula , iaitu: Bakinya edah talak raji' itu yang asalnya adalah 3 quru itu sekarang masih berbaki 2 quru lagi , akan dimasukkan dalam 3 quru edah jimak yang selepas jimak itu . Maksudnya: Dimulakan edah baru dengan dimasukkan/dicampur baki edah yang telah sedia ada (2 quru) tanpa bertambah bilangan hari dari jumlah hari dalam masa 3 quru . Maka menjadi seperti memulakan edah semula . Cuma ditindihkan (dimasukkan) 2 quru edah talak dengan 2 quru edah jimak dan diakhiri 1 quru lagi edah jimak sahaja.


Soalan 3 : Bolehkan suami rujuk semula kepada nikahnya dalam masa edah selepas jimak tersebut?.

Jawab: Menurut Sheikh Ibn Hajar r.a. Hanya boleh rujuk dalam masa edah pertama (edah talak rajie tersebut) sahaja, walaupun edah pertama itu sudah bertindih tempohnya edahnya (iaitu dalam masa 2 quru dalam contoh pada soalan 2 ) dengan edah kedua (iaitu edah jimak), maka suami masih boleh rujuk kepada isterinya yang telah ditalaknya itu. Adapun dalam masa tempoh edah jimak semata-mata bakinya yang tidak bertindih dengan tempoh edah talak tersebut itu tidak boleh lagi rujuk. Jika suami mahu kembali kepada pernikahan mesti melalui akad nikah semula. Iaitu membaharui nikahnya dengan akad nikah semula, sebab tempoh boleh merujuk sudah tamat.
Ringkasnya: Suami masih boleh merujuk jika masih dalam tempoh edah pertama selagi masih ada, walaupun baki tempoh edah pertama itu bersama masa dan harinya dengan tempoh edah kedua seperti dalam contoh soalan ke2 tersebut.


NASnya: Kasful Litham muka surat 272 juzuk 2.



(Fashlun)Pada menyatakan bermasuk-masukkan dua eddah. (Far'un) apabila dua eddah daripada jenis yang satu dan keduanya itu daripada seorang yang satu nescaya bermasuk-masuk kan keduanya seperti bahawa adalah ia talak akan sebagai talak raj'ie kemudian wathi ia didalam eddah dan tiada bunting ia daripada wathinya , - ا ه - م ر
(maka)Dimulai eddah itu dengan quru atau bulan daripada selesai wathi itu dan masuk didalamnya oleh tinggal daripada eddah talak itu maka harus baginya rujuk didalam eddah talak itu jua tiada harus didalam eddah wathi itu, yakni yang kemudian daripada eddah talak- ا ه - حج

Wallahu a'lam.